Thursday 5 March 2020

RUMUSAN KAJIAN TENTANG PENULISAN BLOG


RUMUSAN KAJIAN TENTANG PENULISAN BLOG
     



      Menurut Normaliza Abd Rahim (2014), menulis blog boleh dijadikan sebagai proses untuk monolog dan mempertingkatkan motivasi pelajar dalam kehidupan. Oleh itu, menulis blog boleh dijadikan medium komunikasi untuk semua pelajar di mana mereka boleh berkongsi pengalaman, pendapat dan komen terhadap topik yang dibincangkan.

     Pada hari ini, keutamaan teknologi di sekolah dan universiti tidak menghadkan kepada alat pembelajaran tertentu. Mereka bersedia untuk menggunakan teknologi baharu bagi mempelajari pelbagai saluran komunikasi (Saeed et al.,2009) Zaini et al. (2012) menyatakan bahawa melalui penggunaan blog, pelajar mampu membentuk kemahiran menulis dalam pembelajaran bahasa.

     Berdasarkan daripada pelbagai kajian tentang penulisan blog, ia boleh dinyatakan bahawa blog patut diperkenalkan dalam kalangan pelajar-pelajar korea untuk mempelajari bahasa kedua. Oleh itu, objektif utama kajian adalah untuk mengenal pasti dan membincangkan penggunaan blog untuk menulis melalui perspektif pelajar-pelajar korea. Menurut Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), keputusan kajian terbahagi kepada tiga bahagian yang berkaitan dengan blog iaitu blog di dalam pengajian kesusasteraan, blog dalam pembelajaran bahasa dan blog dalam pembelajaran teknologi.

      Keputusan dan perbincangan blog di dalam Pengajian Kesusasteraan menunjukkan responden wanita lebih suka menulis puisi dalam blog mereka berbanding responden lelaki.  Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh responden, dapat diperlihat bahawa mereka menggunakan blog untuk menulis puisi cinta, sajak untuk kedua ibu bapa, dedikasi dan puisi untuk kelas kesusasteraan dan juga berlatih menggunakan perkataan yang sesuai. Perbincangan blog dalam pembelajaran bahasa pula peratus responden wanita juga lebih tinggi berbanding responden lelaki yang memilih menulis surat sebagai proses pembelajaran bahasa melalui penulisan blog. Responden menyatakan bahawa dengan menulis surat, ia membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk menulis. Seterusnya, blog dalam pembelajaran teknologi pula, responden menyukai video, audio, dan fotografi dimasukkan ke dalam blog. Bagi video dan audio, kajian telah dapati 100% responden lelaki dan wanita menyukai dan memberi kepuasan kepada mereka untuk dimasukkan ke dalam blog. Kesimpulannya, keputusan kajian jelas menunjukkan bahawa blog membantu pelajar Korea untuk mempelajari kesusasteraan, bahasa dan pembelajaran teknologi. Menulis blog meningkatkan motivasi dan keyakinan untuk menulis.

Rujukan :
Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019) Ehh!!Media Sosial, Penerbit  UMT Universiti Malaysia Terengganu

No comments:

Post a Comment